Sunday, January 20, 2013







Dengan nama Allah, pada suatu petang di parkir kereta pejabat seorang rakan sekerja memanggil saya dan menyatakan isi hatinya bahawa beliau terkilan kerana budinya tidak dikenang dengan mengaitkan saya. Hal ini disebabkan saya berada dalam team beliau sewaktu menjalankan tugas yang diamanahkan. 

Tentunya saya terkejut kerana beliau menggunakan perkataan 'kita'. Pada hakikatnya saya langsung tidak pernah ambil kisah hal tersebut kerana ia sudah lama berlalu. Dengan pantas saya berkata "saya tak apa-apa, tak kisah pun. Dr. lah yang lebih terasa," dan terus saya bertanya hal persaraan beliau kerana tidak mahu memanjangkan cerita. 

Setelah berlalu pergi, hati saya berasa sedih sangat. Sedih kerana beliau begitu mengharapkan penghargaan manusia, dan penghargaan yang bagaimana beliau kehendaki agaknya dan selama mana beliau mahu jasanya dikenangi? 

Allah, Ya Allah, buatlah semuanya kerana Allah semata-mata, kerana Allah semata-mata, kerana Allah semata-mata. 

Jika kita berbuat apa pun kerana Allah, sungguh, hati tidak terguris, emosi tidak tercedera, jiwa tidak gundah gelana, perasaan tidak berbaur jika tidak mendapat penghargaan dari manusia. Penghargaan dalam bentuk apa sekalipun baik besar mahupun kecil walaupun perkataan terima kasih. 

Sekiranya yang berkata itu pelajar saya, sudah tentu saya akan menasihatinya. Dalam hal ini saya tidak tahu bagaimana untuk berkata-kata kepada orang yang lebih berusia dari saya kerana tidak mahu mencederakan emosi beliau. Namun dalam diam saya doakan Allah ampunkan kekhilafan beliau.